Perkahwinan ratu cantik Malaysia himpunkan rakan jelitawan sedunia, cipta rekod MBR
IPOH: Seorang ratu cantik Miss International Malaysia 2016 kini mampu tersenyum apabila impiannya untuk menggayakan gaun pada hari perkahwinan dengan inspirasi persalinan diraja Britain menjadi kenyataan.
Persalinan pengantin Olivia Constance Nicholas, 25, seorang jelitawan kelahiran Ipoh, itu turut tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) kerana menggayakan kain layah terpanjang di negara ini, iaitu sepanjang 120.56 meter.
Mendiang Puteri Diana pernah mengagumkan ramai dengan gaya kain layah panjang sewaktu perkahwinannya dengan Putera Charles pada tahun 1981. Sementara itu, rekaan gaun pengantin Olivia juga mengikut potongan langsing seperti yang digayakan oleh Kate Middleton.
“Selepas melihat kain layah Puteri Diana yang sangat panjang, saya terfikir, bahawa suatu hari nanti apabila saya berkahwin, saya mahukan sesuatu seperti itu, atau lebih panjang,” ujar Olivia.
Tinjauan Astro AWANI juga menyaksikan belasan rakan serta keluarga Olivia turut membantu untuk memegang kain layah hasil rekaan Louisa Michael dari Pretty In White Studio itu.
Lebih menarik, majlis perkahwinan itu turut disertai rakan-rakan ratu cantik dari lapan buah negara yang merupakan teman karibnya sepanjang menyertai pertandingan Miss International dua tahun lepas.
Malah, kesemua ratu cantik yang ‘berkampung’ di Ipoh selama beberapa hari itu turut mengagumi keunikan budaya, keharmonian kaum dan kepelbagaian adat resam di Malaysia.
“Saya sudah di sini selama tiga hari dan sangat seronok bersama keluarga pengantin. Semuanya kelihatan cantik,” ujar Maxine Camargo, dari Australia.
Sementara itu, ratu cantik dari Hawaii, Guinevere Davenport, berkata dia tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata tentang perjalanannya hingga menjadi tetamu pada majlis istimewa tersebut.
“Pengalaman ini sangat hebat kerana kami dapat menghabiskan masa bersama sebagai satu kumpulan sekali gus meraikan Olivia yang cantik secara dalaman dan luaran.
“Ketika di Malaysia, saya sangat tertarik menyaksikan pelbagai budaya Melayu, Cina dan India yang hidup bersama-sama dalam satu konsep yang kami sifatkan sebagai Malaysia yang moden,” ujarnya yang turut mengakui bahawa negara ini menawarkan banyak makanan yang lazat.
Ketika ditemui Astro AWANI, rata-rata ahli keluarga dari pihak Olivia mahupun pasangannya, Dr. Sandeep Menon, menyatakan rasa teruja dan amat berbangga dengan majlis tersebut.
Olivia yang bekerja sebagai peguam berkata beliau amat menghargai kehadiran rakan-rakannya serta ahli keluarga yang datang dari seluruh negara.
Beliau juga mempunyai seorang adik kembar, Olinda Josephine Nicholas, yang juga bekerja sebagai peguam selain menjadi model sambilan.
Sumber : Astro Awani
Read More
Categories:
Blog